Monday, February 1, 2010

Lagi penulis blog hina raja Melayu disiasat

JOHOR BAHRU 31 Jan. - Polis sedang menyiasat beberapa lagi penulis blog yang didapati menyentuh atau menghina institusi raja-raja Melayu dalam laman blog mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekiranya bukti berhubung kegiatan tersebut mencukupi, kesemua mereka yang terlibat akan didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengumpul bukti terhadap kes-kes berkenaan.

''Tindakan yang diambil adalah bukti pihak kerajaan amat serius membendung perkara yang boleh mencetuskan ketegangan di kalangan orang awam terutama hal berhubung kait dengan institusi raja, agama dan kaum.

''Pihak kementerian dengan kerjasama SKKM juga akan terus memantau laman blog yang menyentuh tentang perkara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Jumaat lalu, seorang juruteknik komputer sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban terhadap pertuduhan menghina institusi kesultanan dan rakyat Johor menerusi blog adukataruna.blogspot.com pada 22 Januari lalu.

Khairul Nizam Abdul Ghani, 29, didakwa melakukan kesalahan itu di No.297, Rumah Rakyat Panchor, Paroi, di sini antara 7.25 malam dan 9.05 malam.

Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Semberong berkata, tindakan menyentuh perkara yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai adalah suatu perkara yang tidak wajar dan tidak bertanggungjawab apatah lagi ia melibatkan imej sesebuah negara.

''Saya percaya kita sepatutnya bersatu dalam memikul tanggungjawab berhubung kes sensitiviti orang ramai seperti institusi raja-raja Melayu dan agama agar ia tidak berleluasa sehingga membakar emosi rakyat," katanya. - Utusan



 Rakyat diajak tentang usaha gugat keharmonian

 

Bantahan dari seluruh negara cermin semangat 1Malaysia: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu menentang cubaan liar menggugat keharmonian negara, termasuk beberapa serangan terhadap rumah ibadat baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, beliau terharu dan mendapat inspirasi daripada bantahan disuarakan pelbagai pihak di seluruh negara yang mengutuk perbuatan demikian.



Katanya, bantahan dan kemarahan pelbagai pihak yang bergema dari seluruh negara terhadap segelintir individu yang bertindak jahat itu mencerminkan semangat sebenar 1Malaysia atau perpaduan dalam kepelbagaian.

"Saya tahu ada pihak yang mengkritik 1Malaysia. Saya tahu sesetengah rakyat Malaysia begitu cepat menolak atau memperkecil-kecilkannya. Saya tahu ada pihak yang mempersoalkan isinya. Kepada mereka yang mempunyai keraguan mengenainya, saya ingin katakan: 1Malaysia bertujuan mulia.

"Ia adalah seruan ke arah tindakan berasaskan nilai asas yang wujud sejak sekian lama dan sentiasa menjadi amalan kita seperti integriti dan kesetiaan... yang menjadi identiti rakyat Malaysia," tulis Najib dalam blog beliau www.1malaysia.com.my blog.
Perdana Menteri berkata, kejadian baru-baru ini bukan saja penghinaan terhadap kepercayaan agama, tetapi juga satu perbuatan yang jelas bertentangan dengan semangat dan matlamat 1Malaysia.

"Ia satu cubaan bagi menggagalkan usaha kita untuk mencapai penerimaan dan kemajuan, kesaksamaan dan lebih buruk lagi, adalah cubaan untuk menyemai bibit-bibit yang menentang sikap toleransi. Bagaimanapun, unsur paling membimbangkan ialah emosi yang mendorong individu terbabit bertindak demikian. Mentaliti inilah yang perlu dikenal pasti dan diperbetulkan.

"Kita tidak boleh sekali-kali menerima sikap tidak bertoleransi dan perbuatan menghancurkan masyarakat kita. Saya juga menyarankan kepada ibu bapa, guru dan pemimpin supaya mendidik anak kita supaya bangun menentang cubaan liar bagi menggugat keharmonian antara kita... hanya melalui cara inilah Malaysia akan menjadi lebih kuat dan sejahtera," kata beliau. � Bernama