Sunday, January 10, 2010

ISU GEREJA



 





PETALING JAYA: Tindakan pantas polis menghadapi suasana genting tiga insiden serangan membakar gereja di Lembah Klang, semalam, mendapat pujian pihak gereja.


Ketua Paderi Gereja Assumption, di sini, yang dilontar bom api, Phiilip Muthu, berkata beliau menghubungi Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan sebaik kejadian itu berlaku dan terus dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.


"Pihak polis memberi kerjasama yang baik dan mereka datang segera serta melakukan siasatan secara terperinci," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada polis.


Gereja itu tidak rosak kerana bom api yang dilontar ke atas permukaan berturap di hadapan gereja itu tidak meletup.


Beliau bagaimanapun berharap polis meningkatkan kawalan keselamatan di gereja dan rumah ibadat lain.- Bernama





 GEREJA DIBAKAR....PE NAK JADI SEKARANG MALAYSIA....


[Anggota polis memeriksa bangunan Gereja Metro Tabernacle A/G yang dibakar tengah malam tadi.  KUALA LUMPUR, Jan 8 — Sebuah gereja di pinggir ibu negara dibakar tengah malam tadi ketika pihak berkuasa memberi amaran agar tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan termasuk mengadakan perhimpunan haram di sebalik polemik keputusan mahkamah membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan "Allah".


Gereja Metro Tabernacle A/G, yang terletak di Jalan 4/4C Desa Melawati dekat Setapak di sini dibakar, dipercayai oleh beberapa lelaki, kira-kira 12 tengah malam tadi.


Ia tiada hubungan dengan Gereja Roman Katolik yang mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald menggunakan perkataan "Allah" pada tahun 2007.


Pihak polis belum mengenal pasti mereka yang melakukan perbuatan itu dan tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian tersebut.


Beberapa saksi mendakwa mereka ada melihat tiga atau empat orang yang menaiki dua motosikal berhenti di hadapan gereja berkenaan.


"Kemudian mereka memecahkan cermin tingkat bawah bangunan gereja sebelum membaling cecair yang dikatakan mengakibatkan kebakaran di gereja itu," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurusan gereja.


Gereja itu terletak di bangunan kedai tiga tingkat dengan ruang pejabat di bahagian bawah.


Pengurusan gereja sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


Sebelum kejadian itu, laman web mahkamah iaitu http://www.mahkamah.gov.my pula telah digodam oleh pihak bertanggungjawab.


Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah hari ini agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil.


Beliau yang memantau secara serius perkara itu berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeruh dan menjejaskan keselamatan negara.


"Jangan buat sesuatu tindakan yang boleh mengusutkan keadaan, kita perlu bertenang kerana ia melibatkan isu agama yang menjadi isu sensitif," kata beliau.


Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dijangka berhimpun bagi membantah penggunaan kalimah "Allah" oleh Herald di beberapa masjid di ibu negara selepas solat Jumaat.


Beliau berkata polis tidak mengeluarkan permit kepada mana-mana permohonanuntuk berhimpun meskipun ia adalah perhimpunan secara aman.


Laporan sebelum ini menyebut selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan bantahan di seluruh negara hari ini.


Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga akan menganjurkan bantahan yang sama.


Bantahan yang dinamakan “Satu hati mempertahankan kesucian Islam” diadakan selepas solat di Masjid Negara.


Dua NGO Islam berpengaruh Angkatan Belia Islam Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia akan berhimpun di masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada waktu yang sama.


Musa berkata semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu itu dan jangan membuat kenyataan yang boleh menaikkan semangat serta kemarahan orang ramai.


Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu setelah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan peguam mewakili Herald mencapai kata sepakat supaya perintah itu ditangguh sementara menunggu rayuan.


Pagi semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semua pihak perlu menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi bagi menyelesaikan isu semasa.


"Kita perlu mengambil sikap bahawa perkara ini perlu diselesaikan melalui mahkamah secara baik..kita sepatutnya tidak menaikkan tahap ketegangan di negaraini.


"Tapi walau apapun, pihak berkuasa sentiasa bersedia dan saya berharap jika ada orang yang mahu menunjuk perasaan, ia tidak akan merebak sehingga menjadi sesuatu yang amat serius... moga-moga ia hanya tunjuk perasaan yang minimum," katanya.


Najib juga berkata kerajaan tidak akan menghalang para penunjuk perasaan jika mereka mahu berhimpun di sekitar kawasan masjid selagi ia di dalam lingkungan batas kawasan itu.



Gereja Dibakar! Angkara Siapa.. Islam, Kristian Atau Pihak Ketiga?

 

 Oleh Shanti M.

 
Sebuah gereja yang terletak di deretan rumah kedai Desa Melawati, Hulu Kelang dibakar malam tadi.
Selain itu, dikatakan tiga buah gereja lain juga cuba dibakar di sekitar Lembah Kelang.
Polis kini sedang menjalankan siasatan lengkap berhubung kejadian itu.
Manakala Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengadakan sidang akhbar tergempar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberikan gambaran sebenar kejadian.
Mutakhir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya hari ini mengutuk tindakan mecemarkan dua rumah ibadah Kristian di negara ini dan mengarahkan polis segera meningkatkan kawalan ke atas semua rumah ibadah di seluruh negara.
Motif sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan lagi.
Namun, pada ketika ini, seperti yang diketahui semua, wujud sedikit permasalahan hubungan antara penganut Islam dan Kristian di negara ini berikutan tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan dalam Herald The Catholic Weekly baru-baru ini.

Kes tersebut kini di peringkat rayuan yang dibuat oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sebelum ini, isu penggunaan kalimah Allah banyak dibincangkan sama ada di forum-forum di internet, blog atau melalui media massa.

Penggunaan bahasa-bahasa yang kasar terutama dalam blog telah menghangatkan isu tersebut.
Walaupun keadaannya agak panas, tetapi rasanya tidak sesiapa pun menduga ia akan mencapai tahap seperti apa yang terjadi malam tadi.
Pada peringkat ini, pastinya ramai yang terfikir ia tentunya perbuatan orang Islam yang marah dengan kebenaran penggunaan Kalimah 'Allah" kepada kumpulan Kristian Katolik.
Kalau tanpa fikir panjang, memang itulah nampaknya yang lojik.
Namun, pada peringkat ini, amat merbahaya jika kita semua, tidak kira Islam, Kristian atau penganut mana-mana agama berfikir demikan.
Mungkin ada pihak ketiga terbabit dalam hal ini. Jangan kita tolak kemungkinan itu.
Penulis yakin tidak mungkin ada orang Islam yang mahu hingga ke tahap membakar gereja kerana orang Islam di negara ini penyabar dan banyak bertolak-ansur dalam pelbagai hal.
Ini pastinya tindakan pihak yang mahu melihat orang Islam dan bukan Islam di negara ini bertelagah dan kemudian melihat negara ini hancur.
Mungkin pihak pembangkang yang selama ini menuduh UMNO cuba menjadi hero dalam isu penggunaan kalimah 'Allah' yang terbabit dalam kes kebakaran malam tadi bagi memburukkan lagi imej UMNO di mata rakyat.
Malah difahamkan gereja-gereja yang dibakar itu bukannya gereja mazhab Roman Katolik. Mungkin ini ada kaitan antara pertelagahan mazhab dalam Kristian sendiri, kita tidak tahu.
Dalam kemabukan merebut kuasa mentadbir sebuah negara seperti Malaysia, apa sahaja boleh dilakukan oleh banyak pihak.
Dan apa yang nyata, memang mudah untuk mengambil kesempatan mencetuskan rasa marah dan huru-hara dalam situasi sekarang.
Apa yang penulis amat bimbang ialah jika pihak-pihak berkenaan yakni yang terbabit dalam pembakaran gereja malam tadi tidak dapat dihalang awal dan lepas ini ada pula masjid atau surau yang dibakar.
Ketika itu 'all hell will break loose'. Entah apa akan jadi kepada negara ini.
Dalam isu ini, polis dan KDN hendaklah siasat sehingga ke dasar yang paling dalam dan menahan sesiapa sahaja yang terbabit dalam kejadian malam tadi, tanpa mengira pangkat atau kuasa yang ada pada orang itu.
Kejadian seperti membakar gereja tidak boleh dibiarkan berterusan. Ingat, kita semua rakyat Malaysia ini adalah negara untuk semua.
Apa kekurangan atau ketidakpuashatian hendaklah diselesaikan secara perlahan-lahan dan mengikut saluran yang sepatutnya.
Semua pihak perlu bertenang dan biar pihak berkuasa menguruskan masalah itu. Negara ada undang-undang seperti Akata Keselamatan dalam Negeri (ISA) yang boleh diguna pakai dalam hal ini.
Mungkin di sini kita boleh nampak keperluan ISA yang dikutuk banyak pihak selama ini.
Berdoalah mengikut fahaman agama masing-masing agar ketenteraman akan kekal di negara ini. Jangan ikut perasaan marah hati semata-mata.

No comments:

Post a Comment