Monday, January 18, 2010

Siswazah sujud dapat rezeki tak disangka

JOHOR BAHRU: “Saya langsung tidak menjangka akan diumumkan sebagai pemenang kategori Individu Nilai Aset Tertinggi, sekali gus membawa pulang sebuah Proton Persona. Namun sebaik nama disebut, saya dan rakan terus melonjak gembira sambil menadah tangan tanda syukur kerana dikurniakan rezeki sebegini pada usia muda,” kata Mohammad Norshim Mohamed Hashim, 21, pemenang hadiah utama, Cabaran Catur Bestari KFC Peringkat Kebangsaan 2009/2010 di sini, semalam.

Malah, anak sulung daripada 11 beradik itu menyifatkan kemenangannya sebagai hadiah berganda selepas Kumpulan UMP Gempak 1 yang disertainya turut dinobatkan sebagai johan Nilai Aset Tertinggi yang meraih ganjaran wang tunai RM50,000.

“Tahun lalu, saya pernah cuba menyertai peraduan sama, namun tewas di peringkat awal kerana masih tidak mengetahui selok belok permainan.

“Bagaimanapun, tahun ini saya nekad mengajak rakan serumah untuk menyertai cabaran ini, sekali gus memahirkan diri dengan pelbagai ilmu perniagaan,” katanya.

Empat lagi rakan dalam kumpulannya adalah Mohd Azizul Abdul Sani, 21; Abdullah Muhamad Nawi, 25; Nurizzuddin Ahmad Hussin, 22 dan Tuan Shahlan Tuan Safie, 21.

Menurut Norshim, tiada yang mustahil buat dirinya dan rakan-rakan untuk meraih gelaran juara sekiranya mengamalkan kerjasama dengan mengatur strategi sepanjang cabaran. - Mymetro





'Ancam' di Facebook

Mohamad Tasyrif Tajuddin, seorang pelajar perfilemen, mengaku tidak bersalah hari ini atas dakwaan menggunakan aplikasi dalam Internet untuk membuat komen yang boleh mengancam keselamatan orang lain di laman Facebook miliknya berhubung isu 'Allah'.

Tulisan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, antaranya, berbunyi: "Ke nak aku baling bom petrol di sana plak?... harga boleh runding..."

Jumaat lalu, Mohamad Tasyrif didakwa di hadapan majistret Ho Kong Chin kerana hakim Aslam Zainuddin - yang sepatutnya mendengar kes itu - mempunyai urusan rasmi di tempat lain.

Ho kemudian menetapkan hari ini untuk sebutan semula dan juga untuk menetapkan jumlah jaminan.

Mohamad Tasyrif didakwa menggunakan aplikasi Internet itu secara sedar untuk memberi komen di laman Facebook dengan niat untuk mengganggu orang lain dengan menggunakan akaun pengguna, Shahrul Maizam, dengan menulis "ke nak aku baling bom petrol di sana plak?... harga boleh runding..."

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah B10-17-20, Blok 10, Jalan PJS 2B/1, Desa Mentari 2, Petaling Jaya pada 10 pagi 10 Jan lepas.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. Kes itu akan disebut 4 Mac ini. - Malaysiakini

* Benda kecil dibesarkan, benda besar tidak nampak...

No comments:

Post a Comment